Sunday, June 06, 2010

Menyeberangi Sempadan US-Kanada

5 Jun 2010

Kami singgah sebentar di Masjid Zakariya sebaik sampai di Buffalo, New York. Kemudiannya, kami langsung ke Niagara Falls di sebelah USA untuk menyeberangi sempadan USA-Kanada melalui jambatan Rainbow Bridge. Kerana hari masih terlalu awal, kami berhenti di tepi jalan berhampiran jambatan tersebut bertentangan dengan sebuah pusat hiburan keluarga yang tertera di depannya perkataan "Haunted Graveyard". Di situ kami mengeluarkan bekalan kuey teow yang disediakan isteriku pada malam sebelum kami bertolak sebagai sarapan pagi. Debaran hatiku yang semenjak malam tadi seakan gusar kian hilang di pagi yang hening damai. Anak-anakku kelihatan ceria dan ku kira itu satu petanda yang baik.


Selepas sarapan yang serba ringkas itu, kami pun memulakan perjalanan menuju ke Kanada. Isteriku mengambil-alih tugas memandu kerana di dalam percaturanku, dia lebih mudah menjawab soalan-soalan imigresen yang bakal ditanya pegawai sempadan kelak. Aku menghormati kefasihannya di dalam urusan-urusan yang sebegini. Yalah.. dia memegang visa kelas J1 sementara aku dan anak-anak semuanya di dalam kelas J2 melainkan anak sulungku Hakim yang memegang visa B1 kerana datang melawat kami selama sebulan. Apa-apa pun aku melonjak kegirangan di dalam hati kerana destinasi kami yang semakin hampir. Putaran perjalanan hidupku sebagai seorang pelajar luar negara yang masih bujang bermula hampir 3 dekad yang lalu, ku kira semakin hampir lengkap dengan adanya keluargaku di sisi untuk sama-sama menjejakkan kaki ke bumi Kanada yang di hujung dunia, yang memenuhkan memoriku dengan puluhan kenangan manis. Aku bersyukur dengan nikmat Allah ke atasku dan setentunya ke atas keluargaku jua. Dia lah yang mengaturkan segalanya dan dialah yang mengizinkan untuk semua ini terjadi!! Aaahh.. perasaanku melayang sendirian tanpa disedari anak-anak. Aku cuba untuk menenangkannya, namun ku pasti mereka sedar akan betapa besarnya saat itu bagi aku dan isteriku yang diketemukan jodoh di negeri bertuah ini.


Sirih Pulang ke Gagang.


4 Jun 2010

Malam ini diramalkan tenang oleh "Weather Channel" dengan hujan renyai-renyai di satu dua tempat. Suhu turun kepada 17°C dari siang tadi yang agak nyaman berlegar di sekitar 21°C. Petang tadi aku sudah cuba untuk melelapkan mata demi untuk memaksa diriku bertahan berjaga sepanjang perjalanan nanti. Namun kegusaran menguasai keadaan. Fikiran ini terlalu aktif memikirkan seribu satu perkara dan tidur nyenyak itu tinggal harapan yang kenyataannya hampir kepada mustahil.

Perjalanan ke Buffalo dari Dublin, Ohio memakan masa 5 setengah jam. Aku membuat keputusan untuk bertolak pada malam hari kerana untuk menjimatkan masa dan sekaligus menjimatkan kos penginapan. Tepat pada pukul 12.30 malam, atau dalam waktu militari, 0030 jam pagi Sabtu, 5hb Jun, 2010, bermulalah perjalanan kami sekeluarga menuju ke Kanada, negara yang kedua terbesar di dunia. Negara yang dikatakan tempat tinggalnya Santa Claus. Hatiku berdebar kerana sedar betapa beratnya tanggungjawab yang harus ku galas dalam mengheret seluruh keluargaku ke destinasi yang ku kira bukanlah asing padaku dan tidak juga asing bagi isteriku. Namun setelah hampir 30 tahun semenjak pertama kali aku menjejakkan kaki di benua utara itu, segala-galanya menjadi persoalan yang berputar di benak sanubariku ini. Apakah memori indah dulu masih lagi kekal indah? Aku cuba untuk membayangkan apa yang telah berubah dan apa yang tidak ditelan zaman? Otakku dikabusi spekulasi. Apakah anak-anakku dapat menghayati segala apa yang aku alami suatu ketika dahulu. Banyak sungguh pertanyaan hati ini!!! Hmmmm...dalam degupan jantung dan sedikit waktu lagi, segala-galanya akan terjawab dan terurailah jawapan kepada persoalan samada 1001 nostalgia lampau akan dikikis kenyataan masa kini. Aku berdoa semoga Allah memudahkan segala urusan kami.

GPS dipasang. Belum sampai 10 minit dalam perjalanan, kereta kami sudah pun berada di Interstate Highway 270 East menuju ke Cleveland yang jaraknya lebih kurang 100 batu menerusi Highway I-71N. Aku mengarahkan isteriku untuk cuba tidur supaya kelak kalau-kalau aku terasa mengantuk, bolehlah dia mengambil alih tugas sebagai pemandu. Anak-anakku, Hakim, Adam, Nina, Amir dan Alif semuanya sudah melelapkan mata. Aku tidak dapat menghalang perasaanku dari tertanya-tanya apakah yang bermain di fikiran mereka. Cuma yang aku pasti, mereka tidak se'jakun' diri ini pada 3 dekad yang lampau. Malaysia sudah banyak berubah dan anak-anakku dibesarkan di Lembah Klang yang penuh desas-desus kota serta segala-gala yang moden dan serba ada. Jauh bezanya dengan kehidupan aku membesar di kampung. Aku kira faktor 'WOW' untuk mereka terlalu sedikit dan hampir tidak ada untuk mereka menghayati keadaan kehidupan dan pengembaraan di luar negara, apatah lagi dalam negara terhebat di dunia (ye lah.. hebat duniawinya). Hakikatnya, semenjak mereka berada di bumi USA ini, ternyata pada mereka bahawa keadaannya tidaklah sehebat mana. Pada mereka, Surya KLCC, Sunway Pyramid, MidValley Shopping Malls jauh lebih gah dari Tuttle Shopping Mall mahupun Polaris Commercial Centre. 30 tahun yang lalu, aku masih ingat betapa suasana jalanraya di bumi sebelah sini penuh dengan kereta-kereta yang satu ketika dulu cuma dapat aku saksikan di kaca TV dalam cerita Batman, Knight Riders, James Bond dan seumpamanya. Kereta-kereta yang padaku dulu seakan berkepak dan banyak berlegar seperti Trans Am Camaro, Pontiac, Cadillac, Ford Mustang, Chevrolet Malibu dan sebagainya, sudah hampir tiada. Sekarang, hampir 95% suasana trafik di Amerika dan ku kira di Kanada pastinya, penuh dengan kereta-kereta buatan Jepun dan Korea. Mat Salleh kini berbangga memiliki Honda Accord, Toyota Camry, Hyundai Tucson, Sonata serta Kia Sedona, Sorento, Sportage, Optima, Spectra dan pelbagai kereta Asia yang lain. Bayangkanlah kalau Proton mahupun Perodua juga tersenarai!!


Perjalanan malam itu sunyi dan tenang. Aku memasang 'cruising mode' kereta Chrysler 'Town & Country' ku pada 65 batu sejam dan menyusur lebuhraya dengan aman. Sekali-sekala kelihatan kereta polis membuat rondaan di persimpangan yang ku kira strategik buat mereka. Dan ada sekalinya kelihatan kereta yang tertera perkataan 'Sherif' memintas ku dengan laju, entah ke mana tujuannya. Selain itu aku terus melayani perasaan membelah malam yang sunyi.